Saturday 14 January 2012

Apa Keperluan Pembinaan Calvary Convention Centre (CCC)
OLEH: AHMAD KHAIRUL IKHWAN ABDULLAH JR


Saya amat tertarik dengan satu artikel tulisan Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, yang bertajuk "Belanjawan 2012 dan keadilan" yang disiarkan di akhbar Sinar Harian (Buka Minda - Sinar Harian 17 Okt 2011). Beliau merupakan antara tokoh saudara

ru yang cukup menonjol dan tidak keterlaluan kalau saya mengatakan beliau merupakan ilmuan Islam di Malaysia yang banyak memberikan idea dan pandangan yang membina umat Islam. Walaupun mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan beliau akan tetapi itu merupakan perkara biasa di dalam dunia ilmu dan akademi.

Pada mulanya saya tidak ingin mengikut isu ini kerana kesibukkan di dalam kuliah agak menyukarkan saya untuk menulis artikel apa lagi yang melibatkan isu agama dan umat Islam di negara kita. Akan tetapi apabila saya meneliti arah tuju tulisan beliau, saya merasakan amat perlu untuk saya memberikan pandangan. Walaupun saya hanya rakyat biasa akan tetapi saya menulis berdasarkan pengalaman yang saya lalui.

Saya bukan berniat untuk mengulas keseluruhan kandungan artikel tersebut akan tetapi, saya hanya berminat kepada artikel yang berbunyi:

"Pihak yang mengambil kesempatan amat licik. Contohnya, pembinaan pusat Kristian antarabangsa, yang dikenali sebagai Calvary Convention Centre (CCC) di Bukit Jalil oleh Calvary Church. Memang menjadi perancangan Kristian untuk membina gereja terbesar di Asia. Bagi mendapat kebenaran merancang, mereka telah mengemukakan plan kepada Dewan Bandaraya sebagai pusat komersial. Apabila mendapat kebenaran merancang, yang dibina bukanlah pusat komersial. Ia hanya sebagai alat, tetapi yang akan muncul sebagai mercu tanda nanti adalah gereja terbesar di Asia dan mereka akan mendapat mengecualian cukai atas nama kebajikan. Apakah kita masih buta? Bagaimana populasi penduduk yang hanya 10 peratus boleh membina sebuah gereja terbesar di Asia dalam sebuah negara Islam? Tidak cukuplah dengan pembinaan patung tertinggi di dunia di Batu Caves. Jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Akhirnya, nanti negara ini akan keluar sebagai sebagai Malaysia boleh dalam segala hal. Di manakah kedudukan 7 wasiat raja-raja Melayu itu?

Jika keadaan ini terus berlaku, akan berlakulah rumah siap, pahat berbunyi. Akan timbul rasa tidak puas hati. Yang dapat lebih, akan bersorak gembira, manakala yang dapat kurang, akan berasa tidak puas hati. Perkara inilah yang menjadi bahan perbualan hari ini.

Perlu dingatkan, jangan bandingkan dengan peruntukan dan bantuan kepada sekolah agama yang boleh dikatakan saban tahun semakin berkurang. Membantu sekolah agama tidak sama membantu sekolah vernakular. Perkara ini termaktub dalam perlembagaan. Umat Islam berhak menggunakan wang negara untuk perkembangan syiar Islam. Sila rujuk Perkara 12 (2). Perkara ini mesti difahami oleh setiap pemimpin Islam di negara ini. Tidak kira apapun berlaku, sama ada orang bukan Islam menyokong atau tidak, kita mesti tegas dalam perkara berkaitan dengan agama, bangsa dan negara.

Jika kita tunduk, ia akan menjadi precedent. Hujah ini akan digunakan apabila kepentingan mereka tergugat. Justeru, saya menyeru kepada pemimpin Islam, masa tidak lagi menunggu kita. Nasib tidak semesti menyebelahi kita pada masa akan datang, walaupun mungkin kita lihat ada pada masa kini."

Sebagai bekas penganut agama Kristian PCS Sabah, saya akan memberikan ulasan yang adil terhadap penganut agama Kristian tanpa perasaan emosi dan prasangka buruk terhadap mereka. Apabila isu pembinaan Calvary Convention Centre (CCC) di Bukit Jalil mula menjadi isu umat Islam di Malaysia, ketika itu, blog-blog mula memulakan menyiarkannya saya tetap berdiam diri tidak mahu mengulas isu tersebut. Ini kerana saya yakin pihak kerajaan khususnya JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, NGO Islam, alim-ulama, pasti akan bercakap isu tersebut. Akan tetapi sebenarnya saya tersilap di dalam membuat pemerhatian. Saya tidak pasti apakah respon JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, NGO dan alim-ulama terhadap pembinaan gereja terbesar di Asia tersebut.


Negara kita telah mempunyai patung Hindu yang terbesar di Asia yang terletak di Batu Caves. Selepas ini sekali lagi kita akan memiliki gereja yang terbesar di Asia pula. Mungkin ramai yang berkata, biarkanlah orang-orang bukan Islam membina rumah ibadat mereka, itu urusan mereka. Kata-kata seperti ini saya tidak bersetuju sama sekali. Saya bukan ekstrim atau rasis akan tetapi apa yang saya persoalkan ialah apakah keperluan mereka untuk membina Calvary Convention Center yang begitu besar sekali. Kalau kita melihat populasi masyarakat penganut agama Kristian di Malaysia cuma 10% sahaja. Adakah gereja yang telah ada masa kini tidak mencukupi untuk mereka beribadat ataupun mereka mempunyai niat yang tersembunyi.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini ialah begitu banyak gereja yang telah dibina tanpa mengira tempat. Sama ada tempat tersebut kawasan orang Islam atau tidak. Kalau di Sabah contohnya gereja lebih banyak berbanding dengan masjid dan surau. Tanpa pergi jauh ke Sabah dan Sarawak kita melihat di Kuala Lumpur sahaja, tidak cukup dengan bangunan gereja yang ada mereka menyewa kedai pula untuk dijadikan sebagai gereja sedangkan mereka yang datang beribadat di tempat itu tidaklah seramai mana. Apakah tujuan mereka tersebut? tujuannya ialah mereka hendak menunjukkan bahawa penganut agama Kristian adalah kuat dan ramai di Malaysia dan pada bila-bila masa sahaja Kristian akan menjadi agama terbesar di negara kita.

Kalau dibandingkan dengan membina sebuah surau agak sukar untuk mendapat kelulusan daripada pihak yang bewajib. Berbanding dengan membina sebuah gereja ianya lebih muda untuk mendapatkan kebenaran. Saya pun tidak seberapa faham kenapa perkara tersebut boleh berlaku. Yang lebih menyedihkan, penceramah agama yang tidak mempunyai tauliah dengan begitu mudah ditangkap dan dibicara berbanding mereka yang memurtadkan aqidah umat Islam. Bagi mereka yang terlibat di dalam dakwah tetapi tidak mempunyai tauliah, surat tauliah tersebut sentiasa menghantui mereka.

Perkara ini mungkin tidak pernah difikirkan oleh umat Islam ataupun pura-pura tidak tahu. Sebagai seorang bekas penganut agama Kristian pada suatu masa dahulu, saya tidak nafikan saya sendiri mempunyai niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian pada masa akan datang. Walaupun cita-cita saya tersebut agak mustahil akan tetapi ketika itu saya sungguh fanatik kepada agama Kristian. Saya bukan menuduh pemimpin Kristian di Malaysia membuyai niat yang tidak baik ke atas umat Islam, akan tetapi saya tidak mempercayai mereka sepenuhnya. Tidak ada manusia yang membongkar segala perancangan mereka di depan orang ramai.

Umat Islam khususnya para pemimpin wajib mengetahui hal ini demi masa depan agama kita dan umat. Janganlah kita terlalu berlembut dan tunduk terhadap tuntutan mereka yang mengarut. Harus disedari bahawa daripada laporan JAIS berkaitan dengan siasatan keatas DUMC yang dikeluarkan baru-baru ini memang wujud perancangan untuk memurtadkan aqidah umat Islam. Cuma yang menjadi masalahnya ialah JAIS kekurangan bukti yang cukup untuk mendakwa mereka dimahkamah. Di antara sebabnya ialah kerana orang Islam yang tertamgkap di gereja tersebut tidak memberikan kerjasama dan ada yang tidak mengaku sebagai beragama Islam. Cara seperti ini telah dirancang lebih awal oleh pihak Kristian untuk mengelakkan diri daripada didapati bersalah.

“Himpunan Sejuta Umat”' (HIMPUN) yang akan diadakan di Stadium Utama Shah Alam pada jam 2.00 petang 22 Oktober ini sepatutnya dapat membuka mata kita semua. Umat Islam perlu bersatu di dalam menegani pelbagai isu yang menyerang umat Islam. Tidak kira apa jua latar belakang, ideologi, parti politik dan sebagainya, umat Islam perlu tampil ke hadapan untuk menunjukkan solidariti kita. Barulah ketika itu orang lain tidak berani memijak kepala kita. Ini kerana selama ini antara sebab kenapa orang kafir berani memijak kepala umat Islam kerana, sebelum mereka memijak kepala kita, terlebih dahulu kita sendiri memijak kepala saudara seagama kita yang lain.

Harus diingat bahawa, pihak musuh akan sentiasa mencari peluang untuk memusnahkan umat Islam. Apa yang dapat kita lihat pada hari ini sudah ada tanda-tanda yang menuju kearah tersebut. Sebelum terlambat bak kata pepatah 'Nasi sudah menjadi bubur' maka kita wajib bersatu padu sekiranya tidak, kita sendiri akan menjadi mangsa diatas kesilapan yang kita lakukan.

Bersatulah diatas jalan Islam. Kembalilah kepada jalan Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment